Home » Indonesia » LAWATAN MENTERI LUAR MALAYSIA KE GISBH SENTUL, BOGOR

LAWATAN MENTERI LUAR MALAYSIA KE GISBH SENTUL, BOGOR

Pada 20 Oktober 2021, YB Dato’ Saifudin Abdullah, Menteri Luar Negeri Malaysia bersama delegasinya telah datang mengadakan lawatan ke premis-premis di rangkaian terbesar GISBH Indonesia yang bertempat di Sentul City, Bogor, Jawa Barat.

Rombongan delegasi YB Dato’ Saifudin Abdullah, Menteri Luar Negeri Malaysia terdiri dari Dato’ Fyzal Fauzy, Dato’ Sri Eizlan Yusof, Dato’ Sri Alex, Dato’ Syazali, wakil Kedutaan, En. Adlan, wakil Kementerian Luar Indonesia, Pak Shafri menggunakan 4 buah kenderaan, diiringi oleh 2 buah kenderaan GISBH yang membawa delegasi serta diiringi oleh 3 buah motorsikal polis voorijder (outrider).

Antara premis-premis yang dilawati adalah Apotek Ikhwan (Farmasi), Salon Khadijah Aam, Klinik Ikhwan, Galeri Ikhwan, Ikhwan Butcher, Ikhwan Laundry, Pejabat Pentadbiran GISBH Indonesia, Kafe Ikhwan, Kilang Songkok Ikhwan dan Villa GISBH Sentul, Bogor.

YB Dato’ Saifudin Abdullah dan rombongan delegasi diberikan taklimat oleh wakil-wakil GISBH Indonesia tentang aktiviti setiap premis perniagaan.

Apotek Ikhwan (Farmasi) menyediakan perkhidmatan dan perubatan kepada masyarakat dengan memberikan ubat-ubatan secara percuma. GISBH bekerjasama dengan pemerintah tempatan dalam menentukan tempat-tempat yang GISBH beri perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan perubatan secara percuma. Bahkan bagi pesakit dari kalangan masyarakat yang tidak mampu berjalan, pihak GISBH akan akan pergi ke rumah-rumah mereka untuk memberi perkhidmatan yang diperlukan.

Rombongan dibawa masuk Salon Khadijah Aam yang ketika itu tidak ada tetamu dan pelanggan muslimah. Wakil GISBH menjelaskan ramai muslimah dari pelbagai peringkat samada yang dekat atau jauh datang ke salon ini. Di salon pihak GISBH sempat memberikan cenderahati.

Setelah itu YB Dato’ Saifudin Abdullah dan rombongan dibawa melawat Klinik Ikhwan. Dr. Arfan memberikan sedikit taklimat perkhidmatan yang GISBH sediakan di Klinik Ikhwan.

Di Galeri Ikhwan YB Dato’ Saifudin Abdullah dan rombongan masuk melihat-lihat produk-produk yang dihasilkan oleh Konveksi Ikhwan.

Pak Faisal menerangkan di Konveksi Ikhwan, ramai masyarakat luar yang diambil sebagai pekerja. YB Dato’ Saifudin Abdullah berkata “Baguslah kalau ambil masyarakat tempatan sebagai pekerja.”

Lawatan dilanjutkan ke Ikhwan Butcher dimana Pak Faisal kongsikan, sebelum ini ada pelanggan yang kata, bila ada Ikhwan Butcher, baru dia makan ayam semula, setelah 4 tahun tidak makan ayam kerana tidak yakin dengan sembelihan. Pihak GISBH maklumkan ayam yang dijual itu GISBH bela sendiri, dipanggil “ayam sihat” iaitu tidak ada kolesterol. Selain ayam, GISBH juga menternak kambing dan lembu.

Dari Ikhwan Butcher, YB Dato’ Saifudin Abdullah dan rombongan dibawa melawat Pejabat Pentadbiran. Pak Faisal memberikan sedikit taklimat tentang Pejabat Pentadbiran sebagai pusat pentadbiran GISBH seluruh Indonesia.

Kemudian lawatan bersambung ke kawasan Victoria dengan melawat Ikhwan Laundry, Kafe Ikhwan dan Kilang Songkok Ikhwan.

Wakil GISBH menjelaskan Kafe Ikhwan sini mengikut Restoran Ikhwan Delights di Sungai Penchala dan menunya adalah masakan Malaysia, seperti nasi lemak dan masak lemak cili api dan lain-lain masakan Malaysia.

Kemudian YB Dato’ Saifudin Abdullah dan rombongan dibawa melawat ke Kilang Songkok Ikhwan. Di Kilang Songkok Pak Faisal memberi taklimat berkait keupayaan produksi mesin pembuat songkok, iaitu mencecah 1000 buah songkok sehari. Pak Faisal menyebutkan GISBH mengambil pekerja-pekerja dari masyarakat tempatan.

Dari Kilang Songkok YB dan rombongan dibawa ke Villa GISBH Sentul disambut oleh YBhg Puan Ibu Dr Gina Puspita Nasiran untuk menjamu selera. Semua tetamu termasuk outrider menikmati jamuan makan tengahari, semua respon makanan sangat sedap, terutama kari kepala ikan sangat berpuas hati dengan hidangan yang disediakan.

Ketika makan, perbualan diteruskan mengenai songkok presiden, dan juga tentang rusa istana yang GISBH dapat dari istana ekoran tempahan Songkok Ikhwan.

Setelah jamuan makan, YB Dato’ Saifudin Abdullah dan rombongan bersolat Jamak Zohor dan Asar di Villa GISBH tersebut. Setelah solat, penyampaian cenderahati disampaikan oleh YBhg DT Mochamad Umar, Ketua SUZ Jawa mewakili seluruh warga GISBH.

Akhir sekali sesi bergambar bersama dan YB Dato’ Saifudin Abdullah memberikan ucapan ringkas sebagai respon beliau dalam lawatan tersebut.

Setelah itu YB Dato’ Saifudin Abdullah dan delegasi bergerak ke Jakarta Airport diiringi oleh wakil-wakil GISBH Indonesia untuk kembali ke Malaysia.