Home » Malaysia » PERTEMUAN CEO GISBH DENGAN TIMBALAN MENTERI DAN VIP DI KOTA KINABALU

PERTEMUAN CEO GISBH DENGAN TIMBALAN MENTERI DAN VIP DI KOTA KINABALU

GISB Holdings cawangan Zon Borneo negeri Sabah telah didatangi oleh CEO GISB Holdings, YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten pada 10 September 2020. Kedatangan YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten pada kali ini adalah untuk melihat perkembangan GISB Holdings di Kota Kinabalu setelah lebih 4 tahun tidak menjejakkan kaki di bumi Sabah.

Ketibaan YH Dato Lokman Hakim Pfordten di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu disambut oleh YDH Tuan Mohd. Azral Mohd. Noor, Pengarah GISB Holdings Zon Borneo bersama barisan kepimpinan lainnya.

Selama 3 hari di Kota Kinabalu, YH Dato Lokman Hakim Pfordten telah menziarahi Kompleks Pendidikan Ikhwan Kota Kinabalu yang baru sahaja diduduki dan telah pun dirasmikan oleh YDH Tuan Nasiruddin Mohd. Ali selaku Pengerusi Eksekutif GISB Holdings yang baru bersama YDH Tuan Mohd. Azral Mohd. Noor selaku Pengarah GISB Holdings Zon Borneo. YH Dato Lokman Hakim Pfordten juga berkesempatan bertemu dengan para guru dan pelajar-pelajar yang berada di sana. YH Dato Lokman juga turut menziarahi Ikhwan Butcher yang terletak di Putatan dan Ikhwan Cafe yang terletak di Sembulan. Berbagai-bagai panduan yang diberikan kepada kakitangan untuk dipraktikkan bagi mewibawakan lagi setiap premis yang berada di Kota Kinabalu agar lebih berjiwa dan membahagiakan. Ianya sejajar dengan tagline GISB Holdings “Berjiwa Dan Membahagiakan.”

Sebagai Kolonel Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), YH Dato Lokman Hakim Pfordten juga turut memenuhi beberapa jemputan rasmi dan tidak rasmi dari Badan-Badan Kerajaan mahupun Badan-Badan NGO di sekitar Kota Kinabalu.

Pada 12 Ogos 2020 pula, Ikhwan Restoran Sembulan Kota Kinabalu telah menerima tetamu iaitu Datin Mastura Binti Yazid, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri bersama beberapa tetamu VIP lain antaranya Dato’ Sri Musa dan Dato’ Zainuri ke Majlis Makan Malam, atas jemputan YH Dato Lokman Hakim Pfordten.

Pada majlis makan malam yang turut dihadiri oleh YDH Tuan Mohd. Azral Mohd. Noor itu telah mengeratkan lagi ukhwah antara Kepimpinan GISB Holdings dengan tetamu VIP yang hadir. Dalam kesempatan itu YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten mengambil peluang berkongsi rasa dengan Datin Mastura Binti Yazid bersama tetamu-tetamu VIP lainnya tentang betapa pentingnya menguatkan hubungan seseorang hamba dengan Tuhan. Apabila seseorang hamba itu sudah merasai Allah melihatnya walau di mana sahaja dia berada melalui sifat Allah itu Maha Melihat maka itulah CCTV sebenar yang menghalang manusia itu dari melakukan kemungkaran dan kejahatan. CCTV itu berada di dalam hati dan ianya hanya akan berlaku jika sembahyang difahami dan dihayati.

YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten juga menceritakan perkembangan Syarikat GISB Holdings yang mana 70% tenaga yang berada dalam syarikat ini diterajui oleh para remaja. Ke semua mereka dilatih dengan pelbagai kemahiran sehingga mereka bukan sahaja mahir untuk satu, dua perkara dalam satu masa namun mampu memiliki sehingga 10 kemahiran dalam pelbagai bidang kehidupan.

Datin Mastura sangat teruja mendengar perkongsian dari YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten sehingga dalam nada sedikit bergurau beliau mahu anaknya bekerja di bawah syarikat GISB Holdings. Begitulah respon dari hati apabila Islam itu telah benar-benar dapat dilihat keindahannya bukan sahaja didengar namun dapat dilihat dengan mata kepala hasil pembangunan rohaniah dan fizikal yang berlaku secara serentak. Semoga dengan pertemuan tetamu-tetamu VIP dengan kepimpinan GISB Holdings ini kami semakin malu dengan Allah. Allah lah yang mengizinkan semua ini berlaku.

Kedatangan YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten bukan sahaja membuka mata kami khususnya para remaja GISB Holdings di Kota Kinabalu untuk melihat betapa hebatnya hasil apabila ukhwah dan kasih-sayang itu dilaksanakan atas dasar takutkan Allah dan rindukan Nabi tetapi kami juga turut belajar bagaimana melayani tetamu VIP dengan tunjuk ajar yang sangat berhikmah dari YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten dari mula menyediakan persiapan hidangan untuk tetamu, menyusun atur hidangan sehinggalah bagaimana untuk berkomunikasi dengan tetamu.