Home » Malaysia » TUN DR MAHATHIR IKTIRAF KEMATANGAN GISBH DI USIA 21 TAHUN

TUN DR MAHATHIR IKTIRAF KEMATANGAN GISBH DI USIA 21 TAHUN

GISBH telah diasaskan oleh Almarhum Ustaz Ashaari Muhammad pada tahun 2000 untuk membangunkan sistem hidup Islam bermula dengan pembangunan insaniah seterusnya mendirikan pelbagai usaha Fardhu Kifayah untuk memenuhi keperluan hidup manusia melalui medium perniagaan.

Selama lebih dua dekad, GISBH melalui zaman kanak-kanak dan remajanya yang penuh dengan ujian dan cabaran seterusnya memasuki era kematangannya tahun ini di usia 21 tahun. Kedatangan para tetamu dari berbagai latar belakang yang semakin ramai di pusat-pusat perniagaan GISBH mengiringi kedewasaannya.

Seawal 3 Januari 2021, Restoran Ikhwan Delights yang bertempat di Sungai Penchala, salah sebuah rangkaian restoran GISBH telah menerima kunjungan negarawan ulung tanah air, mantan Perdana Menteri Malaysia, YB Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Baru-baru ini pada 10 April 2021 pula, YB Tun Mahathir telah melawat Pusat Perniagaan Ikhwan di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor. Beliau bukan sahaja melawat seluruh bandar Ikhwan dari premis ke premis, malah menaiki kereta kuda, menandatangani plak perasmian bas baru dua tingkat GISBH, juga meluangkan masa selama lebih 4 jam bersama para pimpinan GISBH.

Perasmian Bas 2 Tingkat

Berikut adalah pandangan YB Tun Dr Mahathir mengenai GISBH setelah sesi lawatan yang memperlihatkan kematangan GISBH ketika memasuki usia 21 tahun ini: “Sebenarnya saya tak sangka kemajuan yang boleh dicapai oleh orang Melayu tetapi apabila saya datang ke sini barulah saya sedar bahwa sebenarnya boleh didirikan oleh orang Melayu dan mereka juga akan berniaga dalam bandar. Kalau konsep ini dikembangkan, maka bandar kita barulah jadi bandar negara Malaysia iaitu berbilang kaum”.

Menurut YB Dr Tun Mahathir lagi, “Waktu ini kita dapati bandar kebanyakan yang duduk di bandar dan berniaga di bandar ialah orang bukan Melayu. Tetapi bila saya tengok apa yang dilakukan di sini sebenarnya adalah sebuah bandar yang mempunyai perniagaan-perniagaan yang bermacam-macam”.

“Kadang-kadang kita dapati orang Melayu kalau dia nampak orang jual tomyam, dia pun jual tomyam. Orang jual nasi lemak, dia pun jual nasi lemak. Jadi kita akan rugi. Ini saya haraplah konsep ini boleh dikembangkan di seluruh Malaysia”, kata YB Tun Dr Mahathir mengakhiri komen beliau.

Acara penutup lawatan diakhiri dengan kepulangan YB Tun Dr Mahathir dengan menaiki bas baharu dua tingkat yang dirasmikannya bersama para pemimpin GISBH  ke Sungai Buloh.